suria

Pesawat MH370 Hilang: Pertumbuhan Trafik MAS Tidak Akan Terjejas - IATA

SINGAPURA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) tidak menjangkakan sebarang pengurangan dalam jumlah trafik penumpang Malaysia Airlines (MAS) berikutan insiden kehilangan Pesawat MH370.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata, IATA tidak menjangkakan sebarang pengurangan.

"Perjalanan udara merupakan industri yang sangat selamat. 

"Semua pihak bekerja bersama-sama untuk memastikan keselamatan diutamakan.

"Bagi MAS, ia mempunyai rekod keselamatan yang baik. Nahas berlaku 20 tahun lepas, membabitkan Fokker 50," katanya pada sesi soal jawab menerusi telesidang dari Geneva.

Tyler sebelum itu mengadakan taklimat media bagi mengumumkan unjuran terkini industri IATA bagi Mac.

Beliau berkata, syarikat penerbangan negara itu memperoleh Audit Keselamatan Operasi IATA yang didaftarkan pada 2005, penanda aras mengenai pengurusan keselamatan dunia bagi syarikat penerbangan.

Menurutnya 'insiden ini sangat sangat jarang, dan apabila ia berlaku, ia merupakan tragedi ke atas semua pihak berkepentingan."

"Saya rasa keyakinan terhadap integriti operasi MAS tidak harus dipertikaikan, kita tidak sepatutnya membuat sebarang rumusan sehingga kita dapat memastikan punca tragedi ini," katanya.

Penerbangan MH370 MAS yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang KL di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. 

MH370, Malaysia Airlines, Tony Tyler, IATA

Artikel Lain