suria

Banyak Potensi Niaga Belum Diterokai Di Acheh - Duta

BANDA ACHEH: Pelabur Malaysia disaran memanfaat peluang pelaburan di Aceh yang masih 'melimpah' terutama dalam sektor pertanian dan perikanan, yang mampu memberi pulangan yang baik.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, wilayah itu memiliki potensi pelaburan cukup besar yang belum diterokai sepenuhnya.

"Potensi sumber alam Aceh masih melimpah dan ia merupakan peluang yang baik untuk menjalin kerjasama," katanya ketika bertemu Gabenor Aceh Dr Zaini Abdullah di sini baru-baru ini.

Zahrain diiringi pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia ketika mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Aceh, yang berakhir semalam (Ahad), bagi mempertingkat kerjasama Malaysia-Aceh serta meninjau potensi pelaburan di wilayah itu.

Zahrain berkata,  beliau berpuas hati dengan maklum balas Zaini namun hubungan antara Malaysia-Aceh perlu dipertingkat pada masa akan datang.

Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia ialah kira-kira USD21 bilion sedangkan kerjasama perniagaan dengan Aceh hanya sekitar AS$5 juta pada tahun lepas.

Justeru, Zahrain berkata kerjasama antara Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuh dan dipertingkat terutama dalam menghadapi Komuniti Ekonomi Asean 2015.

"Harus ada integrasi terhadap ekonomi negara-negara Asean, dan Malaysia-Aceh akan merancang yang terbaik untuk kemajuan bersama sehingga harapan kita tercapai," katanya lagi.

Sementara itu, Zaini memperjelas situasi di wilayah berkenaan cukup kondusif dan pihaknya sentiasa membuka peluang kerjasama baik dalam bidang perdagangan, pertanian, perladangan, penternakan serta perikanan dengan Malaysia.

Meskipun banyak pihak menyatakan hasrat untuk melabur di Aceh, Zaini berkata beliau lebih berminat menerima pelaburan dari Malaysia.

"Apatah lagi posisi Malaysia sebagai negara serumpun dengan Indonesia serta dekat dengan Aceh. Kami akan sentiasa mempermudahkan segala urusan kepada pelabur Malaysia demi kepentingan dan kebaikan bersama," katanya.

Dalam lawatan kerja itu, Zahrain turut berkunjung ke Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, meninjau Pelabuhan Perikanan Lampulo, bertemu kepimpinan tertinggi Kepolisian Daerah Aceh serta melawat Museum Tsunami Aceh.

Artikel Lain