suria

Insiden MH370 Tidak Jejas Keyakinan Pelabur

MUAR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tidak menjejas keyakinan pelabur asing terhadap tahap keselamatan negara ini.

Malah timbalan menterinya Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, keyakinan pelabur asing terhadap negara semakin bertambah berikutan kecekapan kerajaan menyelaras gerakan mencari dan menyelamat pesawat malang itu.

Bercakap kepada media selepas seminar tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di sini pada Ahad, beliau berkata, pelabur asing tidak mempunyai sebab untuk hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan Malaysia.

"Malaysia mendapat pujian dari negara luar (berkenaan operasi SAR pesawat MH370) dan ia tidak memberi kesan terhadap import dan eksport kita," katanya.

Menurut Hamim, cubaan pihak tertentu memburuk-burukkan Malaysia melalui media sosial juga tidak akan menggugat keyakinan dan kepercayaan pelabur asing kerana mereka menyedari negara ini menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif. 


Artikel Lain