KUALA LUMPUR: AEON Co (M) Bhd menjangkakan pertumbuhan hasil yang kukuh, sebanyak lima peratus tahun ini, dengan 30 hingga 40 peratus diunjur daripada segmen makanan. Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah berkata syarikat itu berkembang secara konsisten setiap tahun. "Kami menjangkakan segmen makanan tumbuh dua angka tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis mempromosi salmon di pasar raya AEON Bandar Utama. Selasa. Hasil AEON meningkat kepada RM3.514 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013 berbanding RM3.255 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia. Mengenai rancangan peluasan, beliau berkata peruncit itu akan membuka tiga lagi pasar raya pada suku ketiga 2014 - di Taiping, Bukit Mertajam dan Kuala Lumpur. Berdasarkan laporan, peruncit itu kini mengendalikan 27 pasar raya dan empat pasar MaxValue di seluruh negara dan menyasarkan untuk membuka 30 pasar raya dan enam MaxValue menjelang hujung tahun ini. "Kos sebuah gedung baharu dianggarkan sekitar RM60 juta hingga RM100 juta bergantung kepada saiz dan lokasi," kata Nur Qamarina. AEON memperuntukkan RM700 juta untuk mengubah suai pasar rayanya di samping membuka tiga lagi pasar raya. Tahun lalu, AEON memperuntukkan RM500 juta sebagai perbelanjaan modal.