suria

Empat Lagi KIP Mart Bakal Dibuka Tahun Depan

Yap Boon Teck.

MELAKA: Kumpulan Kepong Industrial Park (KIP) bakal membuka empat lagi cawangan pasar raya komuniti KIP Mart tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Yap Boon Teck.

Beliau berkata, cawangan tersebut akan dibuka di Sepang, Selangor; Sri Sendayan Negeri Sembilan; Kuantan Pahang dan Sungai Petani Kedah.

Katanya cawangan di Sepang, Sri Sendayan dan Kuantan bakal dibuka pada suku pertama tahun depan manakala cawangan di Sungai Petani pada akhir tahun depan.

"Empat cawangan baharu KIP Mart ini dibuka berdasarkan sambutan yang menggalakkan di lima KIP Mart kita sebelum ini, masing-masing di Masai, Tampoi, Kota Tinggi dan Segamat di Johor selain Senawang di Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau sebelum itu mengumumkan pembukaan cawangan KIP Mart baharu di Melaka, terletak di Bachang di sini dan bakal dibuka kepada orang ramai Sabtu ini.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan itu, Yap berkata KIP Mart itu mempunyai konsep pasar di bahagian makanan basah yang membolehkan pelanggan 'tawar-menawar' harga dengan peniaga untuk membeli ikan, daging serta sayuran.

Pasar raya yang mempunyai 200 lot kedai itu turut menjual barangan keperluan harian, elektrik dan pakaian, terutama keluaran tempatan, dalam usaha membantu industri kecil dan sederhana serta usahawan tempatan.

Yap berkata, KIP Mart Melaka beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan aktiviti lelong jualan murah akan diadakan setiap Rabu.

"Bagi pembukaan KIP Mart baharu ini, kami akan menjalankan aktiviti lelong buat pengunjung yang hadir dari 19 April hingga 1 Mei depan dan kita turut menawarkan baucar tunai kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga merancang membuka cawangan di Sungai Buloh, Selangor.

Artikel Lain