KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek pemulihan minyak (IOR) dan projek pemulihan minyak dipertingkat (EOR) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menyumbang tambahan 150,000 tong minyak sehari (bpd) kepada pengeluaran domestik menjelang 2020. Naib Presiden Petronas (Perniagaan Pengurusan Eksplorasi dan Pengeluaran Petroleum), Adif Zulkifli berkata, teknologi IOR dan EOR berjaya meningkatkan pemulihan minyak antara 40 dan 50 peratus daripada purata 35 peratus di medan yang menggunakan kaedah tradisional. "Peningkatan itu memberikan kami tambahan dua bilion tong minyak," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2014 di sini Khamis. Setakat ini, beliau berkata, terdapat sejumlah 20 bilion tong minyak dalam simpanan Malaysia. Adif berkata selain meningkatkan faktor pemulihan minyak, projek IOR dan EOR turut membantu menangani penurunan pengeluaran di medan minyak matang. "Projek itu mengurangkan penurunan pengeluaran minyak antara dua dan tiga peratus berbanding lapan hingga 10 peratus tanpa teknologi berkenaan," katanya lagi. Pengeluaran minyak Malaysia kini sebanyak 500,000 bpd, susut berbanding 650,000 bpd semasa era puncaknya pada 90-an. Mengenai projek EOR, Adif berkata syarikat itu ini mengenal pasti 14 medan untuk menggunakan teknologi EOR. Tiga daripadanya sudah diluluskan, termasuk medan Tapis, luar pesisir Timur Semenanjung yang dijadual mengeluarkan minyak pertamanya awal tahun depan, ujar beliau. "Dua lagi projek ialah medan minyak Baronia (kini dalam proses tender) dan medan minyak Betty (baru memperoleh kelulusan). Kedua-duanya di luar pesisir Sarawak," jelas Adif. Kedua-dua medan minyak dijangka mula mengeluarkan minyak menggunakan teknologi EOR pada 2017 dan 2018, katanya.