KOTA KINABALU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) mengenal pasti tujuh kluster peluang pelaburan baharu yang berpotensi untuk diteroka termasuk sektor penerbangan bagi membangunkan perniagaan koperasi di negara ini. Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata projek baharu dalam bidang pengangkutan udara itu antara intipati yang akan dibentangkan dalam Persidangan Kebangsaan Tahunan pada 31 Mei depan bagi melihat potensinya secara lebih menyeluruh. "Sebagai permulaan kita melihat kepada potensi sewaan 'penerbangan carter' dengan mendapat tawaran sebuah syarikat dari Arab Saudi yang berminat untuk bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Angkasa peringkat negeri Sabah di sini, Sabtu. Abdul Fattah berkata ANGKASA juga akan meningkatkan perniagaan itu dengan mempromosikan pelancongan umrah dan ziarah berikutan terdapat 40 buah koperasi yang terlibat dalam bidang itu selain permintaan tinggi masyarakat seluruh dunia termasuk anggota koperasi untuk melancong ke luar negara. Beliau berkata pihaknya akan mengembleng sumber yang ada menerusi kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu untuk mengkoordinasi sektor pelancongan berbentuk umrah dan ziarah sebelum memperkembangkannya dalam sektor perniagaan. Menurutnya, langkah ini adalah selaras dengan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 dalam menyasarkan sektor koperasi menyumbang 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM50 bilion menjelang 2020. "Selain sektor perniagaan penerbangan, kita juga akan menceburi bidang peruncitan dan pemborongan, perumahan, peladangan dan pertanian, telekomunikasi, pelancongan dan kesihatan bagi memastikan peningkatan perolehan koperasi dalam Angkasa," katanya. Sementara itu, katanya, Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA (KOPSYA) kini telah bersedia untuk memberikan pembiayaan sebanyak RM70 juta kepada koperasi yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, pada tahun ini. "Setakat ini, 20 buah koperasi telah mendapat pembiayaan KOPSYA yang bernilai hampir RM20 juta," katanya. Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan akan memberi peluang kepada lebih 250 buah koperasi ANGKASA yang menceburi bidang perumahan untuk membina projek perumahan di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome.