KUALA LUMPUR: Petronas melancarkan kemudahan latihan terbarunya yang dikenali sebagai Pusat Latihan Minyak dan Gas Bersepadu INSTEP (IIOGTC), sebuah pusat latihan berskala besar di kawasan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Batu Rakit, Terengganu baru-baru ini. Pelancaran kemudahan itu dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di INSTEP dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petronas membangunkan modal insan di negara ini. Turut serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas. IIOGTC terdiri daripada loji latihan huluan dan hiliran sektor minyak dan gas yang dibina dengan bentuk dan fungsi yang sama dengan loji sebenar. Kemudahan ini dibina dengan anggaran kos RM250 juta. Di samping loji huluan dan hiliran, IIOGTC turut dilengkapi dengan rig gerudi, simulator penggerudian dan bengkel kejuruteraan. Kemudahan yang pertama seumpamanya di rantau ini dibangunkan dengan tujuan untuk melengkapkan pelatih-pelatih INSTEP dan kakitangan Petronas dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam industri minyak dan gas melalui latihan indutri yang dijalankan di persekitaran yang sesuai dan selamat. IIOGTC ini akan digunakan oleh pelajar-pelajar Program Teknologi Petroleum (PTP) INSTEP di mana mereka akan menjalani latihan semasa kerja (OJT) di kemudahan ini bagi mendedahkan mereka dengan proses dan operasi sebenar di sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas. Selain itu, kemudahan ini turut terbuka bagi penggiat industri minyak dan gas dalam atau luar negara yang ingin meningkatkan kemahiran jurutera dan juruteknik mereka. Berucap pada majlis itu, Shamsul Azhar berkata, “Pelancaran IIOGTC ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi INSTEP sepanjang 33 tahun usahanya membangunkan modal insan negara.” “IIOGTC ini merupakan salah satu pelaburan penting Petronas dalam bidang pembangunan modal insan yang bertujuan melahirkan kakitangan yang mahir dan berkelayakan bagi menyokong perkembangan pesat industri minyak dan gas Malaysia,’ tambahnya. Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif Eksplorasi dan Pengeluaran Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin. IIOGTC dijangka akan meningkatkan keupayaan INSTEP untuk menerima pelatih dua kali ganda kepada seramai 1,700 pelatih setahun. Selain INSTEP, Petronas turut mendirikan beberapa institusi pendidikan lainnya seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP); Akademi Laut Malaysia (Alam) dan Pusat Kepimpinan Petronas (PLC).