KUALA LUMPUR: JobStreet.com, syarikat pengambilan pekerja dalam talian, memperkenal inovasi untuk mencari pekerjaan yang membolehkan calon melihat peluang mereka dipilih oleh majikan berbanding pemohon lain. JobStreet berkata, syarikat itu mahu melihat calon membuat keputusan yang lebih baik apabila memohon suatu pekerjaan supaya mereka mendapat peluang terbaik untuk ditemuduga. "Kami mahu menjadikan keseluruhan proses permohonan pekerjaan itu setelus mungkin untuk para calon. "Dengan mengetahui kedudukan mereka dari segi pendidikan, gaji dan tempoh pengalaman berbanding pemohon lain membolehkan calon membuat keputusan sama ada perbezaan itu memihak kepada mereka atau tidak," katanya dalam kenyataan. JobStreet berkata, majikan boleh menjangkakan calon yang lebih serius dan sesuai berbanding hanya menerima banyak permohonan pekerjaan berikutan pemohon kini lebih berpengetahuan dan bersifat memilih apabila memohon suatu pekerjaan.