KUALA LUMPUR: HSBC Global Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2014 pada 5.2 peratus dan 2015 sebanyak 5.0 peratus, dengan pertumbuhan berkenaan didorong oleh eksport bersih yang positif. "Perkembangan tahun ini mungkin kelihatan lebih cepat daripada 2013 pada 4.7 peratus tetapi pertumbuhan berturutan setiap suku seharusnya lebih perlahan. "Kami menjangka pertumbuhan suku tahunan purata pada 0.9 peratus mengatasi 2014 berbanding purata 1.2 peratus pada 2013 dan pergerakan hala tuju sebanyak 1.1 peratus," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota. HSBC berkata kitaran pemulihan dalam eksport Malaysia mungkin bersandarkan penghantaran lebih banyak produk pembuatan kilang dan komoditi. Bagaimanapun, pertumbuhan mungkin lebih sederhana berikutan unjuran HSBC pemulihan sederhana di Amerika Syarikat dan Eropah di samping pertumbuhan mantap di China. Tetapi ia mungkin mengatasi pertambahan dalam import manakala permintaan domestik pula dijangka bertambah lemah. Pertumbuhan domestik yang lemah adalah kesan daripada usaha penggabungan fiskal kerajaan terhadap perbelanjaan awam dan pengguna. Kenaikan subsidi harga bahan bakar pada September lepas dicampur penggabungan lanjut fiskal tahun ini seharusnya menyebabkan defisit negara mengecil kepada 3.5 peratus daripada KDNK berbanding 3.9 peratus dicatat tahun lalu. "Sebagaimana jelas daripada pemotongan subsidi untuk gula, bahan bakar dan elektrik sejak beberapa bulan lalu dan rancangan merangka semula asas pungutan hasil melalui Cukai Barang dan Perkhidmatan pada April 2015, kerajaan komited kepada penggabungan fiskal," tambahnya. Mengenai inflasi, HSBC menjangka ia akan berada pada purata 3.2 peratus tahun ini, dengan andaian tidak ada perubahan kepada harga bahan bakar dan ini sejajar dengan unjuran Bank Negara antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus.