KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh mendapatkan sayur sawi dengan harga serendah RM0.33 setiap 250 gram di Pasaraya My Hero, Puchong dekat sini pada Selasa. Selain itu, ikan siakap pula dijual murah di Pasaraya Giant, Jalan Klang Lama iaitu pada harga RM7.99 sekilogram. Berbanding di Aeon Jusco Taman Keramat, ikan siakap dijual pada harga RM19.90 sekilogram. Bagi sayur-sayuran, lobak merah boleh didapati dengan harga murah iaitu RM2.50 sekilogram di Pasar Harian Selayang di sini manakala di Kulai, Johor sayur sama dijual pada harga RM5 sekilogram. Bagi penduduk atau orang ramai yang tinggal berdekatan Wangsa Maju pula, mereka boleh mendapatkan buah tembikai merah tanpa biji yang dijual serendah RM0.79 sekilogram. Buah tembikai jenis sama dijual pada harga RM2.29 sekilogram di Aeon Big Bangsar. Di Pasar Basah Rawang, Rawang, ayam hidup boleh didapati dengan harga serendah RM4.10 sekilogram. Harga itu lebih murah jika dibandingkan dengan harga ayam hidup di Pasar Tikam Batu, Sungai Petani iaitu RM7 sekilogram.