KUALA LUMPUR: Projek Terminal Pengerang milik Dialog Group Bhd, projek di bawah Program Transformasi Ekonomi berjalan lancar dengan fasa pertamanya dijangka siap menjelang akhir tahun ini. Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Dialog berkata, fasa 1 A berjaya disiapkan sepenuhnya dan telah memulakan operasi. "Terminal itu menyambut ketibaan kapal pertama membawa minyak untuk kemudahan simpanan petroleum dan minyak mentah di Pengerang Sabtu lalu, menandakan permulaan operasi penyimpanan minyak di situ," katanya. Dialog berkata, pembangunan fasa pertama merangkumi 60 hektar tanah laut ditebus semula dengan kapasiti penyimpanan permulaan kira-kira 1.3 juta meter padu dengan enam dermaga yang menelan belanja RM2 bilion. Syarikat itu berkata, fasa pertama dikendalikan syarikat usahasamanya, Pengerang Independent Terminals Sdn Bhd (PITSB). "Keseluruhan pembangunan mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun lagi untuk siap sepenuhnya dan akan memberi kesan besar kepada masyarakat tempatan melalui kewujudan banyak aktiviti ekonomi kerana ia juga akan menjadi pelengkap projek RAPID yang baru-baru ini disahkan Petronas," katanya.