suria

FAMA Kelantan Cadang Pasar 2,400 Metrik Tan Tembikai Tanpa Biji

BACHOK: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, bercadang memasarkan 2,400 metrik tan tembikai tanpa biji ke seluruh Semenanjung untuk memenuhi keperluan bulan Ramadan bermula penghujung Jun depan.

Timbalan Pengarah Fama Kelantan, Azhar Jamaludin berkata tembikai berkenaan ditanam di ladang seluas 30 hektar di bawah program Kukuh Pemasaran Fama di Kampung Bakon di sini, dijangka dapat dituai mulai Mei ini.

"Ladang berkenaan merupakan yang terbesar di Kelantan disertai lebih 200 petani," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara petani terbabit dan Fama di sini,  Jumaat.

Projek berkelompok berkenaan diusahakan bersama antara Fama dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bagi menambah pendapatan petani terbabit.

Beliau berkata ladang itu dijangka menghasilkan pengeluaran bernilai hampir RM5 juta.

Azhar memberi jaminan harga pasaran semasa tembikai RM2 sekilogram akan dikekalkan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana pihak pemasar akan membekalkan terus kepada peniaga tanpa melalui orang tengah.

Katanya Fama Kelantan memperuntukkan RM500,000 di bawah Program Kukuh Pemasaran Fama kepada petani terbabit untuk mendapatkan peralatan ladang seperti pam air, mesin pemotong rumput, baja dan racun.

"Fama turut memberi bantuan segera RM2,500 kepada setiap petani sebagai perbelanjaan permulaan sebelum ladang mengeluarkan hasil," katanya.

Sementara itu, ketua petani berkenaan, Mohd Asri Rashidy, 40, berkata beliau mengusahakan tanaman itu sejak 1990 sehingga sekarang membabitkan kawasan seluas hampir 10 hektar.

"Setiap musim (dua musim setahun) saya mampu memperoleh hasil secara kasar sebanyak RM200,000," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain