RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangkakan bahagian jualan alat ganti kenderaannya menyumbang sebanyak RM250 juta tahun ini dan terus bertambah pada tahun-tahun akan datang. "Oleh kerana jualan kenderaan baharu kami bertambah, operasi alat ganti kami juga turut meningkat," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh. Menurutnya, dengan lebih 2.4 juta jualan kenderaan Perodua sudah sejak 1994, perniagaan alat ganti dan aksesorinya pantas berkembang bagi memenuhi permintaan dari dalam dan luar negara. "Jualan alat-alat ganti Perodua telah berkembang daripada RM163 juta kepada RM243 juta, peningkatan 50 peratus dari 2009 hingga 2013," katanya pada pembukaan rasmi Pusat Alat Ganti Perodua baharu, di sini, Khamis. Pertumbuhan itu berdasarkan kepada jumlah bilangan kenderaan yang masih beroperasi dan pembelian di 178 pusat servisnya di seluruh negara, katanya. Syarikat juga merancang untuk meningkatkan pengekalan jaminan yang hari ini berada pada sekitar 29 peratus dan ini akan menyumbang kepada permintaan bahagian-bahagian kenderaan yang tulen. Selain memenuhi permintaan tempatan, Perodua juga mengeksport bahagian automotif ke sembilan negara lain termasuk Nepal, Fiji, Singapura, United Kingdom, Mauritius, Malta, Sri Lanka, Brunei dan Indonesia. Sejak tiga tahun lepas, beliau berkata, Perodua telah mencatatkan pertumbuhan positif pengeksportan alat ganti secara purata sebanyak 42.8 peratus. "Kita melihat potensi untuk terus mengembangkan eksport alat ganti kita terutamanya bagi kuantiti eksport kereta unit siap dipasang sepenuhnya (CBU) kami. "Fokus kami sekarang ini adalah untuk menyokong para pengedar sedia ada dan mengekalkan momentum pertumbuhan bahagian alat ganti," kata Aminar. Pusat alat ganti baru itu menelan kos sebanyak RM28.2 juta dan mempunyai keluasan lebih daripada 13,800 meter persegi yang mana ia adalah 44 peratus lebih besar berbanding gudang lama dan telah direka untuk melancarkan pergerakan stok yang diperlukan oleh cawangan Perodua di seluruh negara. Perodua juga hari ini melancarkan reka bentuk baharu bagi produk minyak pelincir enjin dan penyejuk radiator. "Ini merupakan satu pencapaian bagi kami, kerana dengan mempunyai jenama minyak pelincir enjin kami sendiri merupakan satu cara bagi kami untuk bergerak daripada hanya sebagai pengedar kepada menawarkan pelbagai jenis produk kepada pelanggan kami," katanya. Pada tahun 2013 sahaja, Perodua menjual 5.9 juta liter Perodua Genuine Oil.