Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd, yang dimiliki oleh Khazanah Nasional, ialah pemegang saham PLUS yang menguruskan lebuh raya sepanjang 772 kilometer itu.
"PLUS tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Ia hanya boleh dilakukan oleh KWSP dan UEM," kata beliau kepada media sempena majlis memperingati Allahyarham Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, seorang pakar ekonomi negara, yang meninggal dunia akibat kanser, tahun lepas.
Mohd Sheriff percaya keputusan tersebut hanya akan diperoleh setelah mesyuarat terperinci diadakan.
Perbincangan itu turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi, kata Menterinya Datuk Fadillah Yusof.
"Memang ada syarikat swasta hendak membeli pemilikan konsesi PLUS, tetapi apa pun cadangannya mestilah berasaskan kepada 'perniagaan kepada perniagaan' dan terserah kepada mereka untuk berbincang," katanya.
Ditanya tentang rancangan kenaikan harga tol, Mohd Sheriff berkata: "Ia bergantung kepada keputusan kerajaan".
Awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebarang keputusan mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat selepas perbincangan makmal dijalankan secara mendalam, yang antara lain bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan beban pengguna.
"Tunggulah masanya... Jangan hanya fikir macam seolah-olah kerajaan langsung tak sensitif terhadap masalah rakyat," kata Najib.