suria

Pemaju Perumahan Perlu Bina 30 Peratus Rumah Mampu Milik

TAWAU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor meminta semua pemaju perumahan swasta agar membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik di dalam projek perumahan mereka.

Katanya, langkah itu perlu bagi memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah khususnya mereka yang berpendapatan sederhana, yang baharu bekerja dan mula membina keluarga.

"Langkah itu juga bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di negara ini," katanya pada Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Projek Komersil Dan Perumahan Pekan Merotai, dekat sini, Ahad.

Beliau juga berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek pembangunan seperti pembinaan rumah mampu milik demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) agar menjaga kualiti pembinaan dan menyiapkan projek itu mengikut jadual yang ditetapkan.

"Selain itu kami juga telah menubuhkan Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan untuk menjaga kepentingan dan melindungi hak-hak pembeli perumahan terutamanya perumahan yang dibangunkan oleh pemaju swasta," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata pihaknya juga sedang merancang pembangunan Pekan Baharu Merotai seluas 36 ha bagi menjadikannya sebagai pusat perkhidmatan dan komersil yang mengandungi pejabat-pejabat kerajaan, perumahan, sekolah, masjid dan kawasan industri ringan.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin tempatanterutamanya Anggota Dewan Undangan Negeri Merotai bagi tujuan pembinaan pekan baharu itu.


LPPB, Tawau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain