suria

Firefly Perluas Penerbangan Ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Firefly, syarikat penerbangan jarak dekat premium Malaysia, merancang untuk memperluas jangkauan serantaunya di Indonesia.

Ini berikutan perjanjian kerjasama dengan Citilink, sebuah syarikat penerbangan tambang murah Garuda Indonesia Group.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua syarikat itu berharap dapat merebut peluang dalam pasaran Asean yang sedang berkembang pesat melalui peluasan laluan-laluan sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Ignatius Ong berkata dalam satu kenyataan bahawa Firefly gembira dapat bekerjasama dengan LCC untuk mewujudkan kesalinghubungan dan faedah pelanggan yang lebih luas bagi pengembara di Malaysia dan Sumatera.

"Perkongsian strategik ini dibentuk untuk memperluas rangkaian kami dan meningkatkan keuntungan. Berbeza dengan perkongsian kod, perjanjian ini akan membawa masuk lebih banyak lalu lintas ke Malaysia dan membantu Firefly berkembang sebagai sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai pendapatan tambahan," katanya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo, berkata peluasan perniagaan ini merupakan percubaan untuk sampai kepada pasaran yang lebih luas di rantau ini, sejajar dengan komitmennya untuk menyediakan kesalinghubungan di antara bandar-bandar dalam pasaran Asean.

Firefly juga dijangka melancarkan dua laluan baharu pada September tahun ini, iaitu Pulau Pinang - Krabi, dan Johor Bahru - Ipoh.

Tambang bagi penerbangan dari Pulau Pinang ke Krabi bermula dari RM149 bagi perjalanan sehala dan Johor Baharu ke Ipoh pada RM59 sehala.


Firefly

Artikel Lain