suria

Pelaburan Swasta Dijangka Mengekalkan Pertumbuhan 10.5%

KUALA LUMPUR: Pelaburan swasta di Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan kira-kira 10.5 peratus tahun ini, walaupun lebih rendah daripada 13.6 peratus yang dicapai pada 2013, kata RHB Research Institute.

Firma penyelidikan itu berkata pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi  (ETP) menyumbang kepada peningkatan pelaburan swasta sebanyak 15.3 peratus antara 2010 dan 2013 berbanding 4.7 peratus dari 2008 hingga 2010.

Projek permulaan (EPP) berjaya diterjemahkan dengan ketara dalam pelaburan, yang akan terus mewujudkan kesan limpahan, sekali gus membuktikan bahawa ETP, yang telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, menghasilkan keputusan yang positif.

"ETP sedang bergerak ke arah yang betul dalam menggalakkan pelaburan swasta," katanya dalam satu nota pada Rabu.

RHB Research berkata, dengan 196 projek dan RM219.3 bilion pelaburan komited setakat ini, ETP bertindak sebagai pemangkin penting untuk pelaburan swasta dan pertumbuhan ekonomi "Kami berpendapat bahawa persekitaran ekonomi yang lebih sukar, terutama kenaikan kos menjalankan perniagaan dan mengekang spekulator hartanah, dijangka mengehadkan peningkatan swasta.

"Memandangkan ETP kini mencapai peringkat matang, dan banyak projek yang sudah dilaksanakan, usaha perlu ditingkatkan jika negara mahu kekal dalam trajektori untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Artikel Lain