suria

Bank Islam Sedia Lebih RM5 Juta Untuk CSR 2014

JOHOR BAHARU: Bank Islam Malaysia Bhd memperuntukkan lebih RM5 juta tahun ini untuk kegiatan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat di seluruh negara.

Ketua Hubungan Strategiknya, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata, selain menyediakan penyelesaian kewangan dalam perbankan Islam, bank itu juga memberi penekanan dalam meningkatkan dan memperkayakan kehidupan mereka yang serba kekurangan dan daif.

"Melalui cawangan kami di seluruh Malaysia, kami mengenal pasti golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan kami. Kami juga bekerjasama dengan majlis agama Islam negeri-negeri dan juga Jabatan Kebajikan bagi memastikan bantuan kami sampai kepada orang yang benar-benar memerlukan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Bank Islam dan Bernama Media Treasure Hunt 2014 di Lotus Desaru Resort, malam Sabtu.

Turut hadir, Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Perancang Strategik Bank Islam Hizamuddin Jamalludin.

Antara program CSR yang dirancang tahun ini termasuk projek perumahan bagi mereka yang memerlukan di Johor, membabitkan usaha membina dan membaik pulih rumah bagi 22 keluarga bernilai lebih daripada RM4 juta.

Setakat ini, bank itu telah membaik pulih rumah bagi 151 keluarga miskin di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak.

Wan Ismail berkata, bank itu juga sedang meneliti untuk memperluaskan kegiatan CSR di Sabah memandangkan masih banyak rumah diperlukan dalam kalangan orang miskin selain infrastruktur asas lain seperti surau.


Bank Islam, CSR, golongan miskin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain