suria

SWM Swasta Sepenuhnya Sebelum Akhir 2014

Lori pengangkut sisa pepejal SMW melancarkan operasi syarikat.

SEREMBAN: Syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan, SWM Environment Sdn Bhd (SWM), akan melaksanakan penswastaan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya Dr Uzir Abdul Malik berkata, ini bermakna dari segi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan akan dijalankan mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) sepenuhnya.

"Sebenarnya dari segi aset iaitu jentera dan kenderaan, sudah kita capai sepenuhnya sebab itulah kita boleh penuhi KPI sebelum akhir tahun ini. Kita juga akan menambah pekerja, dan sekiranya tidak dapat sepenuhnya pekerja tempatan, kemungkinan kita akan mendapat pekerja asing dari negara yang dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam SWM-Media Negeri Sembilan 2014 di sini malam Khamis.

Turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan SWM Adnan Ibrahim.

Katanya, dasar penswastaan SWM dilaksanakan secara berperingkat dan pada hujung tahun ini ia merupakan peringkat terakhir pelaksanaan penswastaan sepenuhnya.

"Dengan penswastaan sepenuhnya ini kita harap akan dapat menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan dengan lebih cekap dan negara kita ini akan lebih bersih dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan," katanya.

Sementara itu, katanya, SWM akan meningkatkan lagi kerjasama dengan pihak media dengan harapan media dapat memainkan peranan lebih aktif untuk menyebarkan maklumat berkaitan sisa pepejal terutama dari segi guna semula, kitar semula dan sebagainya.

Uzir turut berterima kasih pada pihak media kerana telah banyak membantu SWM dalam memperbaiki mutu perkhidmatan SWM.

Katanya, tanpa sokongan pihak media, segala maklumat berkaitan operasi SWM kepada orang ramai tidak dapat disampaikan secara meluas.

"Segala pandangan positif mahu pun negatif, kita ambil kira bagi memastikan perkhidmatan SWM kepada orang ramai menepati piawaian dan berkualiti," katanya.

SWM ialah syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan bagi mengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain