TELUK INTAN: Projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor yang meliputi 233km dengan kos RM5 bilion, akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk 22,000 orang. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sementara lebih 2,000 tenaga kerja kekal membabitkan pekerja dan pegawai akan turut diwujudkan bagi mengurus lebuh raya itu. Projek raksasa yang dijangka siap dalam lima tahun membuktikan kemampuan kerajaan dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk pembangunan negara dan kemudahan rakyat, katanya. Beliau berkata demikian pada majlis memecah tanah projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Jambatan Teluk Intan-Setiawan, di sini, Ahad. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.