suria

Xi'an Pintu Masuk Produk Halal Ke China

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Pengerusi Biro Pengarah Xi' An San Bao Shang Xi Group Company merangkap pemilik Shanbao Hypermarket, Sha Pengcheng melihat barangan makanan keluaran Agromas Malaysia yang dijual dalam pasaran China ketika melawat rangkaian hypermarket muslim di Xi'an pada Selasa.

XI'AN (China): Malaysia melihat Xi'an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat China sebagai pintu masuk untuk menembusi pasaran halal China yang amat luas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Walaupun kami datang ke Xi'an, tetapi saya difahamkan bahawa wilayah-wilayah lain di sekitar Shanxi juga memerlukan produk halal dari Malaysia.

"Jadi, kami akan menjadikan Xi'an sebagai pintu masuk untuk membawa produk kita ke wilayah-wilayah lain," katanya kepada pemberita Malaysia di sini semasa kunjungan beliau ke Xi'an San Bao Shuangxi (International) Halal Food Trading Mart, pasar raya produk halal tempatan, di sini pada Selasa, menjelang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib akan melawat Xi'an dan Beijing bermula 27 Mei hingga 1 Jun sempena meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Ismail Sabri berkata ketika ini, terdapat kira-kira 200 unit penyimpanan stok (SKU) produk halal Malaysia di pasar raya itu yang kebanyakannya adalah produk makanan dan minuman, termasuk makanan sejuk beku.

"Kita akan tambahkan lagi produk kita sebanyak 500-1,000 SKU dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata hubungan dua hala erat antara Malaysia dan China telah menyediakan peluang lebih baik bagi Malaysia untuk mengeksport produk halal kita ke ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Walaupun penduduk Islam China mempunyai minat besar terhadap produk kita, tetapi kalau halangannya ialah autoriti pihak kerajaan, produk kita juga tidak dapat masuk ke negara ini," katanya.

"Saya percaya hubungan baik dengan negara China akan memberi peluang lebih banyak kepada kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Xi'an San Bao Shuang Xi Group Company, Sha Pengcheng berkata terdapat permintaan besar terhadap produk halal Malaysia dalam komuniti penduduk Islam di China, justeru itu beliau berhadap melihat lebih banyak produk Malaysia di perkenalkan di negara ini.

Apabila ditanya sama ada insiden kehilangan pesawat MH370 akan menjejaskan hubungan baik yang dinikmati kedua-dua negara, Ismail Sabri berkata tidak dinafikan ia melibatkan anggota keluarga penumpang pesawat itu, tetapi ia tidak menjejaskan hubungan antara Malaysia dan China.

"Ia melibatkan keluarga-keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut. Walaupun pada peringkat awalnya keadaan agak tegang, tetapi dari segi kerajaan dan perniagaan tak ada masalah," katanya.

Daripada 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat Boeing 777-200ER yang hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac, 153 penumpang ialah warganegara China.

Mengenai isu sarang burung walet mentah, beliau berkata walaupun China bersetuju pada dasarnya untuk memberi kebenaran Malaysia mengeksport sarang burung walet mentah, tetapi ia masih memerlukan perbincangan yang lebih terperinci.

"Saya tidak tahu berapa lama kita kena tunggu lagi, kita harap selepas kedatangan Najib untuk hubungan dua hala ini, isu tersebut dapat diselesaikan segera," katanya. 


Xi'an

Artikel Sebelum

PIPC Akan Diteruskan - TPM

Artikel Lain