suria

JM Bariani Tembusi Pasaran Indonesia

JM Bariani House bakal melebarkan operasi ke Medan, Indonesia pada September ini.
KUALA LUMPUR: JM Bariani House akan membuka cawangan pertama di luar negara dengan meneroka pasaran di Medan, Indonesia pada September ini.

Pengarah urusannya, Zulkarnain Mustapha berkata, ia adalah cawangan pertama mereka dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.

"Medan menjadi lokasi pertama cawangan JM Bariani di luar negara dan ketika ini ia masih dalam pembinaan.

"Kita tidak mengeluarkan sebarang modal pelaburan bagi projek ini kerana pihak PT Royal Bariani Berjaya menanggung sepenuhnya kos pembukaan cawangan baharu di sana.

"Menu utamanya masih sama, namun kita ada sajian sampingan seperti gado-gado, ayam pop untuk disesuaikan dengan selera masyarakat tempatan," katanya pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Royal Bariani Berjaya di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Rabu.

Dalam mengekalkan keaslian nasi beriyani keluaran syarikat itu, beliau berkata, pihak pengurusan membekalkan rempah ratus yang diimport dari Malaysia kepada pengusaha francais di Indonesia.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, mengikut perancangan, JM Bariani akan membuka beberapa lagi cawangan di Thailand, Singapura, Australia dan China sekiranya projek sulungnya di Indonesia berjaya.

"Setakat ini kita sudah mempunyai 15 cawangan di seluruh negara dan 5 lagi cawangan akan dibuka sebelum penghujung tahun ini.

"Pada masa sama, kita juga merancang untuk menambah kiosk bergerak di beberapa pusat beli belah sekitar Lembah Klang," katanya.

Tahun ini, JM Bariani mensasarkan keuntungan 25 peratus lebih tinggi berbanding RM15 juta yang dicatatkan pada 2013.


Artikel Lain