suria

MAS Perkenal Daftar Masuk Kendiri Mandatori

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memperkenalkan syarat daftar masuk kendiri mandatori bagi semua penumpang kelas ekonomi yang membuat perjalanan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 15 Julai ini.


Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan bahawa pelanggan-pelanggan boleh menjimatkan masa yang berharga dan mengurangkan kerumitan mendaftar masuk melalui pilihan daftar masuk kendiri ini.

Hingga 48 jam sebelum penerbangan, pelanggan-pelanggan boleh memilih untuk sama ada mendaftar masuk melalui MHweb di alamat www.malaysiaairlines.com atau daftar masuk melalui MHmobile di flymas.mobi.

Mereka juga boleh menggunakan kiosk daftar masuk layan diri yang terletak di KLIA dan stesen Express Rail Link Putrajaya.

"Pada masa ini ada 34 kiosk yang disediakan di seluruh KLIA. Pengguna telefon pintar boleh juga memuat turun aplikasi MHmobile percuma untuk mendaftar masuk dengan mudah. Penumpang kelas satu dan kelas perniagaan yang memilih untuk mendaftar masuk sendiri, boleh berbuat demikian melalui mana-mana pilihan yang ada," jelas MAS.

Pengarah Perkhidmatan Pelanggan, Datuk Salleh Ahmad Tabrani, berkata daftar masuk kendiri ini merupakan permulaan bagi pelaksanaan daftar masuk bagasi automatik dan pemasangan tag kendiri.

"Apabila dilaksanakan sepenuhnya nanti, kiosk daftar masuk layan diri akan membolehkan penumpang mengambil alih pengalaman daftar masuk masing-masing dan menguruskan masa mereka sewajarnya.

"Penggunaan teknologi dan inovasi untuk mengautomasikan proses daftar masuk akan meredakan kesesakan di kaunter-kaunter daftar masuk.

"Pelanggan kami akan beroleh manfaat kerana ia memendekkan masa yang dihabiskan kerana menunggu dan beratur. Kami menggesa semua pelanggan MAS supaya memberikan perhatian kepada perkembangan baharu ini," katanya.

Pelanggan hanya memerlukan rujukan tempahan mereka atau nombor e-tiket 13 angka mereka untuk melakukan daftar masuk kendiri. 


MAS, daftar masuk kendiri

Artikel Sebelum

Artikel Lain