KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (PBB) akan memperoleh baki 50 peratus kepentingan ekuiti dalam VID Public Bank (VPB) berdasarkan pertimbangan tunai sebanyak US$76.6 juta (RM245 juta). PBB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata ia telah menandatangani perjanjian pemindahan modal ekuiti bersyarat (ECTA) dengan Joint Stock Commercial Bank for Investment and Development of Vietnam (BIDV) untuk pemerolehan itu. VPB, yang mempunyai modal berbayar sebanyak US$62.5 juta (RM200 juta), memulakan operasinya di Vietnam pada 1992, dan sentiasa mencatat keuntungan sepanjangan 22 tahun operasinya. Melalui ECTA, bank itu ia akan mengemukakan permohonan kepada State Bank of Vietnam untuk menukar VPB, sebuah usaha sama bank, kepada sebuah bank 100 peratus milik asing di Vietnam. Setelah selesai cadangan pemerolehan itu, VPB akan menjadi anak syarikat milik penuh PBB. PBB berkata Bank Negara Malaysia telah memberi kelulusan untuk cadangan pemerolehan itu. Pihak bank berkata cadangan pemerolehan itu dijangka tidak mempunyai kesan ke atas pendapatan dan aset bersih PBB dan anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014.