suria

Komtar JBCC Sasar 1 Juta Pengunjung Sebulan

JOHOR BAHARU: Komtar Johor Baharu City Centre (Komtar JBCC), pusat beli belah baharu di bandar raya ini menyasarkan sejuta pengunjung sebulan daripada kalangan rakyat tempatan dan Singapura apabila ia dibuka sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, lebih banyak ruang niaga akan beroperasi pada Disember depan, selain pembukaan Taman Aktiviti Angry Bird pertama di Asia Tenggara di aras tiga kompleks itu pada Oktober ini.

"Buat masa ini, hanya 23 ruang niaga yang baru dibuka dan bilangannya akan bertambah secara berperingkat sehingga 130 ruang niaga pada hujung tahun," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Jcorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meninjau kompleks tersebut.

Kamaruzzaman berkata, kerja-kerja akhir pembinaan pusat beli-belah itu dijangka siap sepenuhnya November depan dan setakat ini, 90 peratus penyewa sudah mengesahkan untuk beroperasi di kompleks berkenaan.

Beliau berkata, Komtar JBCC merupakan hasil transformasi daripada Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pelengkap kepada pembangunan Iskandar Malaysia untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kukuh, keselesaan komuniti dan perkhidmatan komersil yang berkualiti.

Katanya, pusat beli belah itu yang dibuka sejak tiga hari lepas turut menyediakan 1,600 ruang letak kenderaan dan menawarkan pelbagai pilihan jenama termasuk The Coffee Bean & Tea Leaf, Fossil, Ice Watch, Pandora, New Balance, Clarks dan Sketchers.

"Berkedudukan strategik berhampiran Tambak Johor, Komtar JBCC yang menjadi sebahagian daripada pembangunan JBCC diyakini akan menjadi destinasi beli-belah dan pusat hiburan utama di bandar raya ini," katanya.

Menurut Kamaruzzaman, kewujudan pusat beli-belah itu juga akan merangsang lagi ekonomi Johor dan membuka lebih banyak peluang perniagaan terutamanya sektor peruncitan dan pelancongan.

Artikel Lain