PETALING JAYA: MRT Corporation menjangkakan Danainfra Nasional Bhd akan menerbitkan satu lagi pusingan sukuk pada akhir tahun bagi membiayai projek MRT Sungai Buloh-Kajang. Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid yang ditanya mengenai unjuran nilai sukuk itu berkata, ia bergantung kepada keperluan aliran tunai syarikat pada masa itu, namun berkata, ia tidak terlalu besar. "Pada masa ini, dana yang diperoleh melalui sukuk berjumlah RM11 bilion, dan sehingga 30 Jun, kami membelanjakan kira-kira RM8.03 bilion daripadanya untuk membayar kontraktor, rakan pelaksana projek, yuran jurutera perunding, penyelia projek serta insurans. "Pusingan kedua terbitan sukuk tidak terlalu besar memandangkan masih ada baki dana daripada terbitan sebelumnya. Kami cuba sedaya upaya untuk mengawal perbelanjaan," katanya pada taklimat media mengenai perbelanjaan projek MRT di sini, Rabu. Danainfra, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, ditubuhkan untuk tujuan khusus sebagai jentera pembiayaan sosial untuk kerajaan mencari dana untuk membiayai projek infrastrukturnya. Secara keseluruhan, Azhar berkata, kira-kira RM30 bilion dijangka dibelanjakan untuk projek MRT. Mengenai kontrak baharu, Azhar berkata, terdapat tujuh pakej kerja kecil bernilai kira-kira RM300 juta yang akan di tender pada akhir tahun ini, termasuk perabot pejabat dan pakej lampu LED. Mengenai perkembangan MRT, syarikat itu hari ini mengumumkan sehingga 30 Jun, kemajuan keseluruhan kerja bawah tanah sudah 63,34 peratus siap, manakala kemajuan terowong siap 65.9 peratus. Mengenai perjanjian antara MRT Corporation, sebagai pemilik dan Syarikat Prasarana Negara Bhd, yang dilantik oleh kerajaan sebagai pengendali, Azhar berkata belum ada keputusan muktamadkan diputuskan lagi. "Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai perkara itu, dan akan ada beberapa jenis perjanjian antara kedua-dua pihak mengenai kaedah pengendalian infrastruktur MRT. "Belum ada yang dimuktamadkan, dan perbincangan akan diteruskan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri," katanya. Mengenai kemungkinan menyepadukan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan cadangan laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Klang, Azhar berkata syarikat itu masih belum berbincang mengenainya dengan Prasarana. "Kita perlu merancang sebelum kita melakukan integrasi ini. Setakat ini, kami belum berbincang mengenainya. "Jika perancangan bermula lewat, ia akan menanggung lebih banyak kos memandangkan lebih banyak perubahan perlu dilakukan," katanya.