suria

Siemens Sasar Peningkatan Hasil 10 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Siemens Malaysia Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan hasil kira-kira 10 peratus tahun ini dipacu oleh projek dalam sektor tenaga, prasarana dan bandar raya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, M Prakash Chandran berkata, Siemens mempunyai empat portfolio perniagaan teras, iaitu tenaga, infrastruktur, bandar raya, penjagaan kesihatan serta industri.

"Kami melihat sektor tenaga menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pendapatan diikuti prasarana dan bandar raya pada 20 peratus.

"Sektor industri dan penjagaan kesihatan menyumbangkan selebihnya. Pada masa sama, kami menjangka keuntungan kami meningkat di antara enam hingga lapan peratus," katanya kepada Bernama.

Tahun lepas, Siemens mencatatkan pertumbuhan pendapatan 20 peratus, manakala keuntungan bersih meningkat di antara 12 hingga 15 peratus.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan teknologi itu berkata, syarikat itu yakin melepasi nilai kontrak dalam tangan RM4.281 bilion (satu bilion euro) tahun ini kerana ia menjangka pertumbuhan berterusan dalam keempat-empat portfolio berkenaan.

Mengenai projek yang sedang dijalankan syarikat itu, Prakash berkata, Siemens telah memenangni dua kontrak daripada Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kontrak RM4.765 bilion Petronas (US$1.5 bilion) itu adalah untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentaulihan loji penjanaan bersama di Kompleks Integrasi Pengerang, Johor.

Kontrak RM2.47 bilion daripada TNB adalah untuk bekalan, memasang dua turbin gas Siemens SGT5-8000H untuk turbin gas kitar berkombinasi loji tenaga di Seberang Prai, Pulau Pinang bersama penyelenggaraan selama 20 tahun.

Loji 1,017 megawatt (MW) di Prai dijadualkan siap dan memulakan operasi pada 2016. Kemudahan 1,220 MW di Pengerang dijangka siap pada 2017 dan memulakan operasi pada tahun yang sama.

Mengenai prospek masa depan, Siemens sedang membida untuk pelbagai projek prasarana besar serta pembangunan loji tenaga.

"Kami akan membida untuk projek kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dan Mass Rapid Transit (MRT) Laluan 2 dan 3.

"Malaysia adalah negara sedang membangun dan Siemens berminat menjadi penyedia teknologi canggih, terutama dalam keempat-empat bidang yang kami ceburi," kata Prakash.

Menurutnya, syarikat itu turut membantu Malaysia mencapai sasaran 40 peratus pengurangan pelepasan karbon menjelang 2020 serta sasaran pertumbuhan pengeluaran tenaga tahunan sebanyak lima peratus.

Prakash berkata, pengggunaan tenaga terus meningkat, penjanaan tenaga cekap akan menjadi komponen penting yang boleh dipercayai, sistem tenaga mesra eko dan pihaknya menjangkakan pelaburan yang lebih tinggi dalam loji tenaga baharu.

"Apabila kecekapan operasi ditingkat dengan teknolgi canggih, loji tenaga akan memberi kesan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain