KUALA LUMPUR: SJ Securities Sdn Bhd memberikan penarafan 'beli' kepada I-Bhd dengan harga sasaran RM4.40, berdasarkan sumbangan daripada bahagian pembangunan harta dan riadahnya. Jualan belum berbil I-Bhd sekarang yang berjumlah RM400 juta akan meningkatkan pendapatannya pada masa akan datang, kata SJ Securities dalam satu nota di sini pada Jumaat. Pelancaran dengan nilai pembangunan kasar (GDV) di antara RM1.6 bilion dan RM2 bilion dijangkakan dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini adalah hasil daripada pelaksanaan lebih banyak plot kediaman dalam i-City, di Shah Alam, dan Grand i-Residence, sebuah projek yang tinggi GDVnya di sekitar KLCC. SJ Securities juga menjangka sumbangan pendapatan tahunan sebanyak sekurang-kurangnya RM50 juta daripada bahagian riadah I-Bhd, selepas pihak pengurusan menambah tarikan-tarikan baharu kebelakangan ini dengan dua diperkenalkan dalam suku kedua tahun ini. "Dengan pembukaan hotel Best Western yang mempunyai 216 bilik pada September 2014, kami menjangkakan perolehan yang lebih baik dalam segmen ini pada masa akan datang. Hotel ini akan lebih menarik pelancong berbanding pelawat harian ke i-City," katanya.