suria

HLIB Research Naikkan Pertumbuhan KDNK Kepada 5.7 Peratus

KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menaikkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi setahun penuh 2014 kepada 5.7 peratus daripada 5.5 peratus.

Unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian suku kedua yang lebih kukuh berbanding jangkaan.

"Berdasarkan dua suku yang mencatat pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak lebih 5.5 peratus tahun ke tahun, kami kini mengunjurkan Bank Negara Malaysia akan terus mengembalikan kadar normal pada September dengan menaikkan 25 mata asas," kata HLIB dalam nota kajiannya, Selasa.

Firma penyelidikan itu juga berkata ia tidak menjangkakan bank pusat akan menaikkan kadar dasar semalaman melepasi paras neutral 3.50 peratus kecuali data kewangan akan datang terus menunjukkan pertumbuhan pinjaman isi rumah yang kukuh, dengan jurang pertumbuhan deposit pinjaman kekal luas selepas peningkatan 50 mata asas.

Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia mencecah paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan pada 7.0 peratus pada Jun, melepasi unjuran pasaran pada 5.0 peratus.

Peningkatan dicatat dalam kesemua segmen, sebahagian besarnya diketuai sektor pembuatan.


HLIB Research, KDNK

Artikel Lain