suria

Kerajaan Sedia Timbang Penyertaan GWGF Dalam Koperasi Felda 2 - Najib

Najib bersama kanak-kanak Rumah Siraman Kasih, Rawang pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran GWGF di UPM, Serdang, Isnin.
SERDANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia menimbang penyertaan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dalam Koperasi Permodalan Felda 2 (KPF 2).

Perdana Menteri berkata, ini berasaskan minat yang ditunjukkan GWGF dalam sektor koperasi selain yakin penglibatan dan kerjasama gabungan itu akan memberi manfaat besar, khususnya kepada peneroka yang melabur dalam koperasi itu.

"Sedar GWGF ada minat besar mainkan peranan dalam KPF 2 Felda...ia dalam pertimbangan kita.

"Kita sedia timbang idea dan cadangan bernas GWGF. Semoga dengan kerjasama ini komuniti Felda akan lebih maju pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran GWGF di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, Isnin.

KPF 2, koperasi khusus untuk generasi baharu Felda, diluluskan penubuhannya pada 2011 dan bakal menjadi model pembangunan ekonomi generasi baharu yang juga pelengkap kepada Koperasi Permodalan Felda.

Dalam pada itu, Najib berkata, GWGF sebagai badan bukan kerajaan merupakan contoh terbaik dalam menjayakan dasar kerajaan membangunkan komuniti luar bandar serta membasmi kemiskinan.

Justeru, beliau meminta GWGF memberi input serta cadangan bernas kepada kerajaan untuk terus meningkatkan pendapatan serta taraf hidup komuniti Felda.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik penubuhan sebuah akademi golf di UPM yang disifatkannya sebagai satu langkah tepat untuk mencungkil lebih banyak bakat berpotensi dalam kalangan anak peneroka Felda.

"Generasi pertama Felda tidak pandai main golf, mereka mungkin main guli, gasing atau sepak takraw. Tetapi generasi kedua, mempunyai bakat dan potensi sehingga yang datang dari ceruk Felda boleh menjadi johan golf (pada Kejohanan Golf Tahunan GWGF 2014 semalam)," katanya.

Turut hadir Pengarah Besar Felda Datuk Faizouli Ahmad dan Presiden GWGF Tan Sri Rozali Ismail.


Artikel Lain