suria

Nafas Bakal Mulakan Operasi Di Bangunan Baharu

PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan Malaysia (Nafas) menyasar untuk memulakan operasi di bangunan baharunya yang bernilai RM58 juta di sini November ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, premis tiga tingkat itu akan menjadi pejabat dan pusat operasi pertubuhan itu di samping menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran barangan agro peladang tempatan.

"Pusat ini akan menjadi projek pertama Nafas dan ia bakal menjadi pusat pemasaran bagi produk segar daripada 850,000 peladang dengan harga yang lebih murah," katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian di antara Nafas dan Agrobank.

Ismail berkata, buat masa ini, semua produk tersebut akan dijual kepada pasaran domestik.

"Selepas ini, Nafas akan membuka satu lagi pusat pengumpulan dan pengedaran dan pasar agro yang sama di Muar, Johor," tambahnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, berkata Agrobank akan menjalankan operasi perbankan Islam sepenuhnya tahun depan.


Nafas, Agrobank

Artikel Berikut

Artikel Lain