KUALA LUMPUR: Penganalisis tempatan menasihati pemegang saham minoriti Sistem Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) supaya menerima cadangan modal berpilih dan pembayaran balik 27 peratus saham yang ditawarkan oleh Khazanah Nasional Bhd. Dalam satu nota pada Jumaat, Affin Investment Bank Research berkata, tawaran harga penswastaan sebanyak 27 sen yang menggambarkan 1.3 kali nisbah harga berbanding nilai buku itu, seharusnya menarik kepada pemegang saham. "Kami menjangka operasi penerbangan MAS terus mengalami kerugian disebabkan oleh persaingan yang lebih sengit serta sentimen negatif terhadap syarikat itu berikutan tragedi MH370 dan MH17," katanya. Alliance DBS Research berkata harga tawaran itu merupakan peluang menarik diri yang tepat pada masanya, memandangkan momentum perolehan MAS yang lemah dan panggilan tunai yang akan dibuat tidak lama lagi. Ia berkata, MAS perlu memikirkan semula strategi perniagaannya untuk memulihkan operasinya. Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research mengekal saranan 'jual' bagi saham-saham MAS dengan harga sasaran yang serupa seperti tawaran Khazanah. "Kami percaya rancangan penambahan kapasiti MAS akan dikaji di bawah program penstrukturan semula yang bakal dilaksanakan," katanya. Ketiga-tiga firma penyelidikan itu berkata kerugian bersih suku kedua MAS adalah seperti yang diunjurkan dan menjangkakan data-data kendalian yang lebih lemah dalam enam bulan kedua tahun ini. Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, MAS melaporkan penyusutan pendapatannya sebanyak lima peratus kepada RM3.59 bilion daripada RM3.78 bilion sebelumnya disebabkan penyusutan hasil dan faktor tempat duduk berikutan tragedi MH370. Khazanah, yang memiliki 69.4 peratus kepentingan MAS dijangka mengumumkan hari ini rancangannya untuk menswastakan syarikat penerbangan yang bermasalah itu di bawah satu cadangan penstrukturan semula. Cabang pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu mengumumkan bulan ini bahawa ia akan membeli 30.4 peratus kepentingan dalam MAS yang belum dimilikinya, di bawah cadangan belian balik saham pada harga 27 sen sesaham, yang akan melibatkan kos berjumlah RM1.38 bilion untuk memulakan proses penstrukturan semula itu.