suria

Fasa Pertama Aspen Vision City Bermula Tahun Depan

GEORGE TOWN: Pemaju berpangkalan di Pulau Pinang, Aspen Group Holdings Bhd menyasarkan kerja-kerja pembinaan fasa pertama Aspen Vision City di Batu Kawan bermula menjelang akhir 2015 dan siap pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Murly Manokharan berkata fasa pertama itu terdiri daripada kompleks beli-belah berintegrasi dengan Ikea sebagai premis teras.

Beliau berkata Aspen Vision City yang akan didirikan di atas kawasan seluas 99 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM8 bilion dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.

"Fasa pertama ini untuk kedai Ikea, pusat beli-belah dan lain-lain premis komersial. Kita juga akan membabitkan penyertaan peruncit tempatan lain dalam projek ini," kata Murly kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian pembelian dan pembangunan bagi tanah seluas 99 hektar itu dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan memeterai perkongsian dengan Ikano Pte Ltd untuk penubuhan premis Ikea serta usaha sama membangunkan pusat beli-belah berintegrasi serantau dan pembangunan bercampur itu.

Majlis disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengarah Urusan Ikano, Christian Rojkjaer.

Projek itu juga akan meliputi pembangunan kediaman, pejabat, fasiliti perubatan, taman seluas 8.1 hektar dan hab pengangkutan berintegrasi bagi Seberang Perai.

Murly berkata Batu Kawan akan menjadi bandar raya masa depan Pulau Pinang dan Aspen Vision City bakal muncul sebagai ekoperbandaran berintegrasi sepenuhnya selepas hampir dua tahun kajian dan perancangan terperinci.

Sementara itu, Rojkjaer berkata pemeteraian perjanjian hari ini akan membolehkan Aspen dan Ikano melaksanakan kajian awal khususnya kajian impak dan pasaran.

Beliau berkata kajian terperinci dari segi trend perbelanjaan, saiz populasi dan keperluan mereka perlu disiapkan sebelum kerja dijalankan kerana projek melibatkan pembukaan sebuah stor Ikea yang lengkap.

Aspen Vision

Artikel Lain