KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 mampu merangsang permintaan ke atas kenderaan berikutan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyebabkan penurunan harga, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari. SST sebanyak 10 peratus akan dimansuhkan pada 1 April 2015 dan digantikan dengan GST pada kadar enam peratus. "Ia boleh merangsang permintaan untuk kereta dan kita tidak mengharapkan impak besar ke atas harga berikutan pelaksanaan GST," katanya kepada pemberita semasa Pameran Keselamatan Automotif dan Logistik MAI-Lafarge 2014 di sini Sabtu. Jualan kenderaan masih menunjukkan pertumbuhan positif, katanya ketika ditanya kebarangkalian jualan kenderaan mengalami kemerosotan ekoran pengguna sekarang ini mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum GST dikuatkuasakan. "Jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah lebih baik tahun ini berbanding tahun lepas, didorong oleh kempen jualan yang agresif oleh penggiat industri," katanya. "Unjuran TIV sebanyak 670,000 unit bagi tahun ini telah diubah kepada 680,000 unit," katanya. MAI melaporkan bahawa TIV untuk tempoh Januari hingga Julai sebanyak 11,490 unit atau tiga peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2013, didorong oleh kempen jualan yang agresif. "Jualan agak teguh. Menerusi pelancaran kenderaan baharu bulan ini dan bulan-bulan akan datang, kami yakin TIV akan lebih tinggi daripada unjuran," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge Malaysia, Bradley Mulroney berkata syarikatnya menyediakan pelbagai inisiatif untuk mendidik pemandu dan pengendali kargo mengenai keselamatan jalan raya. "Pameran ini akan mewujudkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan dan keselamatan dalam kalangan petugas syarikat logistik dan operator perkhidmatan pengangkutan. "Kami juga bekerjasama rapat dengan operator pengangkutan kami untuk memastikan kenderaan mereka berada pada tahap terbaik dan dilengkapi peralatan keselamatan perlu," katanya.