suria

Indonesia, Malaysia Intai Pasaran Minyak Sayur India

NEW DELHI: Malaysia dan Indonesia, pengeluar minyak sayur-sayuran utama dunia, kini mengintai pasaran India yang bernilai US$10 bilion, lapor Business Standard.

"Kedua-duanya bersaing dalam dasar eskport, menjadikan India sebagai tempat lambakan minyak sawit," Pengarah Eksekutif Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) B.V Mehta dipetik berkata dalam laporan itu.

Data terkini SEA menunjukkan import minyak sayur-sayuran India, untuk dimakan dan tidak boleh dimakan, melonjak 76 peratus pada Ogos 2014 kepada 1,333,480 tan berbanding 757,830 tan pada Ogos tahun lepas.

Angka itu yang tertinggi bagi tempoh sebulan sejak import bahan tersebut dibenarkan di bawah Lesen Am Terbuka pada 1994, oleh India.

Harga minyak boleh dimakan yang pada masa ini mencatat sejarah sebagai terendah sejak 2008, merupakan faktor penyumbang utama, kata SEA dalam laporan yang dikeluarkan pada Isnin, dan berpendapat duti sifar terhadap produk kelapa sawit oleh Malaysia dan Indonesia dijangka merangsang aliran masuk.

Justeru, import minyak sayur-sayuran India dijangka mencatat rekod tahun ini pada 11.5 juta tan (US$10 bilion) di tengah-tengah kejatuhan harga, dengan 19.5 juta tan daripadanya sudahpun tiba, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

India menggunakan kira-kira 19.5 juta tan minyak sawit setahun.

Malaysia telah mengumumkan dasar duti eksport sifar untuk dua bulan berkuat kuasa 1 Sept, bertujuan mengurangkan inventori Ogos berjumlah 2.05 juta tan yang dicatat sebagai rekod tertinggi, peningkatan 22 peratus daripada 1.69 juta tan pada Julai.

Selepas mencatatkan harga terendah dalam tempoh lima tahun pada RM1,914 setan minggu lepas di Bursa Malaysia, kontrak hadapan minyak sawit mentah pada masa ini berlegar sekitar RM2,000 setan.

Laporan itu memetik penganalisis sebagai berkata hasilnya, eksport minyak sawit Malaysia menokok 41 peratus bagi tempoh 1 hingga 10 Sept, berbanding tempoh sama pada Ogos.

Susulan itu juga Indonesia mengumumkan duti eksportnya dikurangkan kepada sifar berkuat kuasa 1 Okt, daripada sembilan peratus sekarang.

Penganalisis menganggarkan inventori minyak sawit mentah antara 2.9 dan tiga juta tan, kata Business Standard.

Digabungkan bersama, Malaysia dan Indonesia yang masing-masing mengeluarkan kira-kira 19 juta tan dan 30 juta tan setahun, menyumbang 85 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia.


Indonesia, Malaysia, India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain