suria

Pengusaha IKS Beaufort Rancang Keluarkan Tart, Jem Nanas

Azizah Dun
BEAUFORT: Usahawan industri Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini, khususnya kaum wanita, merancang menghasilkan kuih tart dan jem nanas untuk dijadikan sebagai satu jenama tempatan di negeri ini.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, penghasilan produk itu, selain dapat menyediakan peluang pekerjaan, juga membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat untuk menjadi usahawan berjaya.

"Selain terkenal dengan destinasi pelancongan, kita juga mahu memperkenalkan kepada pelancong bahawa daerah ini mempunyai produknya sendiri yang boleh mereka beli untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menutup program pemantapan ekonomi keluarga, malam Sabtu.

Menurut Azizah, kawasan penanaman nanas seluas 100 hektar yang terletak di Kampung Takuli di sini yang menghasilkan buah nanas berkualiti dan bermutu tinggi mampu membekalkan nanas kepada usahawan IKS untuk menghasilkan produk berkenaan.

Azizah yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata, golongan wanita yang mengusahakan produk berasaskan nanas itu akan dibimbing oleh agensi kerajaan khususnya di Kolej Komuniti di daerah ini.

Terdahulu, ketika mengulas mengenai program pemantapan ekonomi keluarga berkenaan, Azizah berkata program itu turut mendedahkan peserta dengan kaedah pembuatan mi dan bebola ikan yang mutunya setanding dengan produk di pasar raya.

Beliau yakin melalui IKS, golongan wanita daerah akan dapat merancakkan lagi pembangunan masyarakat bumiputera dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

"Ia akan berupaya meningkatkan dan menjana ekonomi penduduk setempat dengan hasil jualan dan perniagaan seterusnya menjana ekonomi negara kita," katanya.


tart, jem nanas, IKS Beaufort

Artikel Lain