KUALA LUMPUR:Tan & Tan Developments Bhd dan MJR Investment Pte Ltd (MJRI), sebuah syarikat ditubuhkan Mitsubishi Jisho Residence, akan secara bersama membangunkan sebidang tanah di Kuala Lumpur City Centre dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM617 juta. Syarikat terbabit memetrai perjanjian usaha sama melalui penyertaan ekuiti dalam Cipta Klasik (M) Sdn Bhd, jentera tujuan tunggal yang ditubuhkan bagi projek pembangunan ini, dengan Tan & Tan memiliki 70 peratus pegangan dan MJRI memiliki baki 30 peratus. Ketua Pegawai Eksekutif Tan & Tan Developments, Tan Boon Lee berkata, unit bersaiz 688 kaki persegi hingga 1,313 kaki persegi akan dibangunkan sebagai kediaman mewah 41 tingkat merangkumi 400 unit apartmen perkhidmatan. Projek itu dijadual dilancar pertengahan tahun depan dan siap pada 2018, katanya. "Kami menjangka dapat menarik 30 peratus pembeli asing dan selebihnya pembeli tempatan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani usaha sama berkenaan di sini, Selasa. Perjanjian itu ditandatangani oleh Tan, Pengarah Eksekutif Tan & Tan, Teh Boon Ghee, Pegawai Eksekutif Kanan MJRI, Katsuaki Mori manakala Mitsubishi Estate Asia diwakili Shojiro Kojima. Tan berkata, kedua-dua syarikat menyasarkan hubungan jangka panjang dan kerjasama di masa depan selepas projek pembangunan semasa. Perjanjian itu juga menandakan langkah penting Mitsubishi Estate Group kerana ini adalah pembabitan pertamanya di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi mempercepatkan pertumbuhan di pasaran pesat membangun di Asia.