suria

Bajet 2015: Sektor Pembinaan Harap Kerajaan Turunkan Cukai

Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan berharap kerajaan akan menurunkan kadar cukai import bagi peralatan dalam Bajet 2015 bagi meningkatkan produktiviti dalam kalangan syarikat.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim berkata penggunaan jentera akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

"CIDB sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membuat cadangan-cadangan bagi meningkatkan produktiviti syarikat-syarikat.

"Cukai import peralatan dan jentera sekarang setinggi 20 hingga 25 peratus dan idealnya kadar itu diturunkan kepada lima peratus," katanya.

Industri pembinaan melaporkan pertumbuhan paling kukuh dalam semua sektor bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pada 14.3 peratus.

Kerajaan menjangka momentum itu akan berterusan dalam separuh kedua dan tahun depan, didorong oleh projek yang diluluskan kerajaan serta pelaburan berpotensi daripada sektor swasta.

Presiden Master Builders Association Malaysia (MBAM), Matthew Tee berkata pengurangan duti import akan meningkatkan produktiviti dan menggalakkan peserta industri melabur dalam jentera dan peralatan berkapasiti tinggi.

"Ada perkara-perkara tertentu yang kami minta daripada kerajaan sejak 2006 seperti pengurangan duti import terhadap jentera berat yang tinggi berbanding negara-negara Asia lain.

"MBAM hanya meminta pengurangan cukai bagi jentera yang tidak dikeluarkan dalam Malaysia," katanya.

Beliau berkata di sesetengah negara Asia, cukai adalah antara lima dan sifar peratus.

Katanya langkah itu tidak akan menjejaskan pendapatan kerajaan kerana pengurangan duti import tersebut akan menggalakkan peserta industri membeli lebih banyak jentera.

Dari segi sektor hartanah, pakar ekonomi AllianceDBS Research, Manokaran Mottain berharap kerajaan akan mengumumkan langkah sekatan kredit susulan bagi mengawal harga hartanah yang tinggi berikutan peningkatan keberhutangan isi rumah.

"Walaupun indeks harga perumahan tumbuh sederhana sehingga lapan peratus dalam suku pertama tahun ini daripada 11 peratus pada 2013, kemampuan untuk membeli rumah kediaman terutama bagi pembeli rumah pertama, suatu perkara yang membimbangkan kerajaan," katanya.

Beliau menjangka Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia menyasarkan pembeli rumah pertama dan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta untuk perumahan mampu milik diteruskan dalam Bajet 2015.

Memandangkan insentif pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus bagi pembeli rumah pertama sehingga RM400,000 akan tamat pada akhir 2014, Mottain berharap kerajaan akan melanjutkan insentif itu seiring dengan pelbagai langkah perumahan mampu milik yang dilaksana.


Bajet 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain