suria

Laporan: Kukuh Modal Insan Dengan Tambah Baik Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus mengambil langkah untuk memperkukuh dan memperkasa modal insan dengan menambah baik pendidikan bermula daripada peringkat prasekolah hingga tertiari serta latihan kemahiran kepada tenaga kerja.


Langkah itu bertujuan melahirkan modal insan yang dilengkapi pengetahuan, kemahiran teknikal dan kendiri, selain menerapkan keupayaan berfikir, berinovasi dan kreatif.

Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, selepas setahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, enrolmen prasekolah telah mencatatkan pencapaian yang tinggi pada 81.7 peratus melibatkan 793,269 kanak-kanak termasuk peningkatan dalam literasi dan numerasi asas kepada hampir 99 peratus.

Dalam memastikan kanak-kanak, termasuk yang memerlukan keperluan khas mendapat akses prasekolah, kerajaan memperuntukkan RM530 juta untuk program prasekolah termasuk membina kemudahaan prasekolah di sekolah rendah jenis kebangsaan.

"Sehingga Ogos 2014, sejumlah RM106.4 juta dibelanjakan untuk bantuan geran prasekolah per kapita, aktiviti kokurikulum, program makanan dan insurans. Inisiatif ini memanfaatkan 196,710 kanak-kanak prasekolah di seluruh negara," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut kerajaan akan mempergiat usaha untuk meningkatkan pengambilan dan prestasi pelajar dalam bidang sains, teknologi dan matematik sebagai usaha negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Bagi memperkasa pendidikan tertiari pula, kerajaan membelanjakan RM266.2 juta dalam program MyBrain15 yang melibatkan 4,989 pelajar ijazah Sarjana dan 1,435 Doktor Falsafah (PhD) selaras dengan sasaran kerajaan dalam melahirkan 60,000 graduan PhD pada 2023.

Dengan desakan anjakan ekonomi yang memerlukan pekerja mahir dan keperluan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program dalam melahirkan dan meningkatkan kualiti pekerja mahir di negara ini.

Menurut laporan itu, antara program yang dilaksanakan termasuk program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu hingga Tiga di 23 Institut Latihan Perindustrian (ILP) seluruh negara, program Skill Development Fund Corporation (SDFC) dan Program Latihan dalam Bidang Khusus (INSEP).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain