suria

AirAsia Terima Anugerah 'Asia's Leading Low Cost Airline' Kali Ketiga

Mittu Chandilya menerima anugerah tersebut pada majlis Gala World Travel Awards (Asia & Australasia) 2014 di New Delhi, India, malam Ahad.
PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia sekali lagi menerima anugerah ‘Asia’s Leading Low Cost Airline’ di anugerah berprestij di majlis Gala World Travel Awards (Asia & Australasia) 2014, yang diadakan di New Delhi, India pada malam Ahad.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan AirAsia pada Isnin, ini adalah tahun ketiga berturut-turut bagi syarikat itu menyandang gelaran dan anugerah tersebut.

"AirAsia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Mittu Chandilya yang menerima anugerah tersebut di majlis itu.

"AirAsia muncul sebagai pemenang dalam kategori  ‘Asia’s Leading Low Cost Airline’, menerima undian tertinggi dari golongan professional industri perlancongan di rantau ini, mendahului calon-calon dari kategori yang sama seperti Air India Express, Firefly, Go Air, JetKonnect, Jetstar Airways dan Nok Air," kata kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu turut tercalon bagi kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia bagi tahun kedua berturut-turut pada majlis anugerah World Travel Awards 2014 yang akan diadakan pada November 2014 ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat mengekalkan kedudukan teratas dalam kategori ini sejak pengenalannya pada tahun 2012.

"Perjalanan AirAsia lebih bermakna sejak beberapa tahun ini, dan kami sangat berbesar hati apabila usaha kami dalam memberikan yang terbaik dihargai para tetamu kami.

"Setinggi penghargaan kepada lebih dari 15,000 orang kakitangan AirAsia (Allstars) dari serata benua yang telah menyumbang kepada kejayaan AirAsia dari pelbagai sudut," katanya.

Sementara itu, Tony berkata, pihaknya akan menambah 700 laluan sambungan Fly-Thru dalam jaringannya selain melancarkan servis Premium Flex yang menyasarkan golongan pelancong bisnes dengan kemudahan fleksibiliti penerbangan.

Selain itu, AirAsia juga turut memulakan percubaan wi-fi kos rendah dalam pesawat yang akan di lancarkan tidak lama lagi dan ia adalah antara usaha inovasi yang berterusan.

AirAsia juga telah dinamakan sebagai  Terbaik di Asia dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax bagi tahun keenam berturut-turut dari tahun 2009 – 2014.

Artikel Lain