KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sektor runcitnya lebih tujuh peratus tahun depan, kata Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporatnya Nik Mohd Nasir Nik Rithauddeen. Beliau berkata, bank itu yakin mencapai sasaran tersebut berdasarkan kedudukan ekonomi yang stabil selain unjuran positif sektor perbankan tempatan, terutama dalam kewangan Islam. "Selain sektor runcit, kami berharap pinjaman peribadi akan terus meningkat dengan membantu rakyat Malaysia membeli rumah," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa Bank Rakyat, Rabu. Persidangan dua hari itu dari 27 Okt dijangka dihadiri kira-kira 500 peserta. Mohd Nasir berkata, Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas, menawarkan belia berusia antara 25 dan 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000, peluang membeli rumah pertama mereka berharga tidak melebihi RM500,000. "Ini akan merangsang perniagaan pinjaman peribadi kami," katanya. Mengenai persidangan kewangan Islam itu, Mohd Nasir berkata Bank Rakyat merupakan bank pertama di Malaysia menganjurkan acara seperti itu, dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam. "Kami akan menimbang untuk menganjurkan acara yang sama tahun depan jika ia terbukti berjaya kali ini," katanya. Bertemakan 'Perbankan Islam, Melepasi Asas' persidangan itu akan membincangkan prinsip kejujuran dan ketelusan berpandukan Syariah dan melibatkan pakar industri, penggiat, sarjana dan ahli akademik.