suria

Adabi Pertimbang Ladang Lada Di Sarawak

SIBU: Adabi Consumer Industries Sdn Bhd mempertimbangkan kemungkinan membangunkan ladang lada sendiri atau menubuhkan pusat pengumpulan/pembelian di Sarawak bagi mengekalkan profil rasa produknya, kata Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Syed Mahadzir Syed Manshor.


Beliau berkata, pengeluar makanan berbungkus itu melawat beberapa kawasan di Pakan di Sarikei bagi mencari kawasan sesuai untuk dibangunkan sebagai ladang.

Rasa tersendiri produk Adabi adalah hasil penggunaan lada berkualiti dari Sarawak yang mematuhi standard ketat Lembaga Lada Malaysia, katanya kepada Bernama sekembalinya daripada lawatan di Pakan, di sini, Rabu.

Daerah Pakan dan Julau di Sarikei merupakan antara pengeluar lada terbesar di Sarawak.

Syed Mahadzir mengiringi Presiden Adabi, Adrian Roslan dan Anggota Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang.

Syed Mahadzir berkata, Adabi tidak boleh membeli lada dari negara lain seperti Vietnam kerana tindakan itu mungkin menjejaskan profil rasa produknya.

"Kami menggunakan lebih 20 tan lada hitam dan lima tan lada putih setiap bulan," katanya.

Dengan memiliki ladang lada sendiri atau pusat pengumpulan di sini, Adabi boleh mengimbangi kenaikan harga lada, katanya dan menambah keputusan sama ada membangunkan ladang atau sekadar menubuhkan pusat pengumpulan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Jika kami membangunkan ladang lada sendiri di Sarawak, ia akan melibatkan rakan kongsi tempatan," katanya.

Pada masa ini Adabi mengeluarkan lebih 70 jenis makanan dan minuman dalam bungkusan di bawah enam kategori iaitu campuran serbuk rempah, pes diproses, kicap, campuran tepung, makanan dalam tin dan minuman. 


Adabi, ladang lada, Pakan, Sarikei

Artikel Lain