suria

Malindo Air Mula Beroperasi Di LTAM Batu Berendam

Idris (empat, kiri) menyambut ketibaan penumpang pesawat Malindo Air dari Pulau Pinang ke Melaka yang pertama kali beroperasi di LTAM Batu Berendam di sini, Rabu. Penerbangan yang membawa 70 penumpang dari Pulau Pinang itu tiba di LTAM kira-kira 11.30 pagi tadi

MELAKA: Syarikat penerbangan Malindo Air pada Rabu memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini dengan menawarkan penerbangan lima hari seminggu ke Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, penerbangan dua hala sekali sehari ke dua destinasi itu beroperasi pada Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad.

Beliau berkata, penerbangan dari Pulau Pinang ke Melaka yang mengambil masa 1 jam 20 minit akan berlepas pada 10.10 pagi manakala penerbangan balik akan berlepas pada 3.15 petang.

Katanya penerbangan dari Melaka ke Pekanbaru yang mengambil masa 1 jam 5 minit akan berlepas pada 11.50 pagi manakala penerbangan balik akan berlepas pada 12.50 petang dari Pekanbaru.

"Penerbangan ke kedua-dua destinasi ini menggunakan pesawat jenis ATR-72-600 baharu yang boleh menampung seramai 72 penumpang.

"Setakat ini, jumlah penumpang bagi kedua-dua laluan tersebut dianggarkan lebih 90 peratus kapasiti penumpang setiap penerbangan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan pesawat Malindo Air yang pertama dari Pulau Pinang ke Melaka di LTAM di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Seramai 70 penumpang menaiki pesawat tersebut dari Pulau Pinang ke Melaka yang tiba kira-kira pada 11.30 pagi di LTAM.

Beliau berkata, tiket bagi laluan ke Pulau Pinang-Melaka berharga RM79 sehala manakala RM70 bagi laluan sehala dari Melaka-Pekanbaru.

Katanya, syarikat itu merancang untuk menambah penerbangan bagi kedua-dua destinasi tersebut dari lima hari seminggu kepada setiap hari dalam tempoh enam bulan pertama syarikat itu beroperasi di LTAM.

Chandran berkata, pihaknya yakin laluan ke kedua-dua destinsi itu akan mendapat sambutan berikutan Melaka merupakan negeri pelancongan kesihatan yang sering dikunjungi rakyat dari Indonesia terutama Pekanbaru.

Katanya, kedudukan Melaka sebagai tapak warisan dunia dan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pelancong turut dijangka membantu meningkatkan bilangan penumpang bagi laluan tersebut.

"Pelancong yang melawat Pulau Pinang pasti ingin melawat Melaka dan menyaksikan warisan dan tempat pelancongan menarik di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga merancang untuk menyediakan penerbangan bagi laluan Melaka ke Kota Baharu pada 21 November depan.

Malindo Air mempunyai 18 pesawat iaitu 11 daripadanya ialah jenis ATR-72-600 dan tujuh jenis Boeing 737.

Malindo Air, LTAM, Batu Berendam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain