NEW DELHI: Bil import India ke atas minyak makan dijangka mencecah AS$15 bilion berbanding AS$9.3 bilion pada 2013-2914 berikutan kekurangan 10 peratus pengeluaran benih minyak di kawasan tanaman bermonsun akibat kesan El Nino. Tiga tanaman utama iaitu bunga matahari, kacang tanah dan kacang soya akan menyaksikan penurunan pengeluaran masing-masing sebanyak 35 peratus, 31 peratus dan satu peratus, demikian menurut kajian terbaharu oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri India (Assocham). "Setakat ini (sehingga pertengahan Oktober), India mengimport lebih separuh daripada keperluan minyak makan negara itu," kata persatuan terbabit. Menurut 'Solvent Extractors Association' (SEA), import minyak sayuran di India pada September meningkat 21 peratus kepada 1,047,620 tan metrik berbanding 863.917 tan metrik pada September 2013. Import terdiri daripada 1,018.767 tan minyak makan dan 28,853 tan metrik minyak yang tidak boleh dimakan. Import minyak sawit mentah (MSM) terus menunjukkan trend menaik, kata SEA baru-baru ini. Assocham berkata, import terbabit menyebabkan India membayar bil yang tinggi selain berlaku turun naik dalam pasaran India. Bil import ke atas akaun minyak makan ke India pada April-Ogos pada tahun fiskal semasa telah melonjak sebanyak 53.2 peratus tahun ke tahun dan bil bulan September-Oktober juga tinggi disebabkan musim perayaan, kata kajian itu. Justeru, dalam konteks semasa, import membantu pasaran tempatan menghindari kesan buruk akibat kekurangan pengeluaran benih minyak pada musim monsun. Sementara itu, kekurangan pengeluaran benih minyak Indiaa sudah lama diketahui, dan dasar perdagangannya yang tidak seimbang turut menambah kepada pergantungan import yang tinggi, katanya.