PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka memulakan kerjasama yang pertama dengan kerajaan Chile pada tahun hadapan bagi kajian dan pembangunan (R&D) projek penanaman bijirin Golden Grain. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek penanaman bijirin tersebut membolehkan Malaysia dan Chile meluaskan kerjasama mereka lebih dari sekadar aktiviti perdagangan dua hala semata-mata. "Tanaman ini biasanya ditanam di kawasan berhawa sederhana, jadi melalui projek ini, Institut Penyelidikan Pertanian Chile dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan bekerjsama untuk menghasilkan benih Golden Grain yang dapat ditanam di kawasan beriklim tropika," katanya. Tajuddin sebelum ini menerima kunjungan hormat Duta Republik Chile ke Malaysia, Christian Rehren yang turut menyerahkan kertas projek untuk kerjasama tersebut. Katanya, projek yang sama juga sedang dilakukan di Vietnam bagi membolehkan Golden Grain ditanam di kawasan yang mempunyai iklim yang sama di negara itu.\ "Kita melihat potensi Golden Grain bukan hanya untuk ditanam di negara ini, tetapi kita mahu menghasilkan benih yang mampu tumbuh di kawasan beriklim tropika untuk tujuan eksport,"katannya. Golden Grain, bijirin yang kaya dengan khasiat asid amino, tinggi kandungan protein dan merupakan bijirin yang menjadi kegemaran dalam kalangan rakyat Eropah. Di samping itu, Tajuddin berkata, pihaknya turut menjemput pengusaha industri perikanan dari Chile yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam penangkapan ikan di laut dalam untuk bekerjasama dengan pihak kementerian. "Mereka merupakan pengeluar dan pengeksport yang besar kepada pasaran dunia seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat untuk hasil ikan laut dalam seperti tuna, salmon dan sebagainya," katanya. Justeru, katanya, kerjasama mereka amat diperlukan terutamanya dari segi kepakaran teknologi dalam membantu industri perikanan di negara ini bagi memajukan perusahaan tangkapan laut dalam. Selain itu, Tajuddin berkata, Chile juga berpotensi untuk menjadi pengeksport daging kambing dan lembu halal ke Malaysia, namun perkara itu masih di peringkat kajian.