suria

Mr Burger Sasar Buka 10 Kiosk Mr Khalifa Burger Akhir 2014

KUALA TERENGGANU: Mr Burger Sdn Bhd sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku, martabak raja dan burger milik usahawan Bumiputera menyasarkan pembukaan 10 unit kiosk baharu dengan jenama Mr Khalifa Burger sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Mohd Wahyu Affandy Zainuddin berkata, setakat ini tiga kiosk Mr Khalifa Burger telah beroperasi, iaitu di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, Wakaf Tapai dan Kuala Berang di Hulu Terengganu.

"Sambutan sangat menggalakkan dengan purata jualan antara RM300 hingga RM400 untuk setiap malam di setiap kiosk itu.

"Ini disebabkan Mr Khalifa Burger menawarkan lebih 20 menu seperti burger daging, burger ayam dan oblong bermula dari RM2.30 dan lebih istimewa kami turut menawarkan perkhidmatan wifi secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kiosk kami," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Selain Mr Khalifa Burger, syarikatnya juga memiliki dua cawangan restoran Mr Burger dengan fokus perniagaan berkonsepkan hidangan barat yang dibuka di Chendering Kuala Terengganu dan di Paka, Dungun.

"Setakat ini, cawangan di Chendering mencatat jualan antara RM600 hingga RM1,000 setiap hari manakala cawangan di Paka pula di antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari.

"Dua segmen jualan yang berbeza ini bertujuan memberi keselesaan kepada pelanggan kerana ada antara mereka suka menikmati burger di restoran kerana sudah biasa dengan konsep restoran makanan segera Barat yang lain.

"Manakala bagi yang suka menikmatinya secara santai di kawasan terbuka, mereka boleh menikmatinya di kiosk Mr Khalifa Burger," katanya.

Bagi cawangan Mr Burger, usahawan yang berminat perlu mengeluarkan modal sebanyak RM200,000 untuk membuka restoran francais itu, namun dengan pembukaan kiosk, usahawan berminat hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak RM4,000.

"Inilah pembaharuan yang kami perkenalkan dengan niat mahu menggalakkan lebih ramai belia menjadikan perniagaan sebagai karier mereka dan kami akan membantu mereka dari segi bimbingan dan pemasaran.

"Kami turut menyediakan sistem kawalan stok yang cekap menggunakan komputer untuk mengelak ketirisan dan membolehkan pengusaha mengawal jualan di kiosk mereka dengan mudah tanpa berada di kiosk sepanjang ia beroperasi," katanya.

Mohd Wahyu berkata, pelanggannya akan tetap menikmati keenakan rasa burger yang sama kerana beliau membekalkan bahan mentah kepada cawangan Mr Burger dan Mr Khalifa Burger yang dihasilkan kilang miliknya di pusat perindustrian hab halal di Chendering.

"Kami proses sendiri daging, sos dan mayonis agar pelanggan boleh menikmati rasa yang standard di mana sahaja mereka membelinya sama ada di restoran ataupun di kiosk," katanya. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain