SINGAPURA: Eksport bukan minyak (NODX) Singapura turun sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober. Kedudukan ini berbeza dengan pertumbuhan 0.9 peratus pada bulan sebelum itu, yang disebabkan oleh peningkatan dalam NODX elektronik dan bukan elektronik. Pada asas tahunan, NODX ke semua 10 pasaran teratas, kecuali Thailand, Korea Selatan, Taiwan, Jepun dan China, merosot pada Oktober 2014, demikian menurut statistik yang dikeluarkan oleh International Enterprise (IE) Singapura pada Isnin. Hong Kong, Indonesia dan Malaysia merupakan penyumbang utama yang menyebabkan NODX pada Oktober 2014 jatuh. Berasaskan tahun ke tahun, eksport minyak tempatan susut 14.9 peratus pada Oktober, berikutan penguncupan bulan sebelumnya sebanyak 12.0 peratus. Penurunan tahun ke tahun dalam eksport minyak tempatan ini berpunca daripada jualan yang rendah ke Hong Kong (-41.1 peratus), Malaysia (-18.5 peratus) dan Panama (-25.3 peratus). Dari segi jumlah, eksport minyak tempatan juga menyusut sebanyak 4.4 peratus pada Oktober, disebabkan penurunan sebanyak 6.2 peratus pada bulan sebelum ini. Bulan ke bulan, eksport minyak tempatan jatuh sebanyak 10.4 peratus pada Oktober, selepas kemerosotan sebanyak 8.5 peratus pada bulan sebelumnya. Sementara itu, berasaskan tahun ke tahun, eksport semula bukan minyak (NORX) menguncup sebanyak 5.4 peratus pada Oktober, berbanding peningkatan 4.2 peratus pada bulan sebelum ini, berikutan penurunan NORX elektronik dan bukan elektronik.