KUALA LUMPUR: Gedung fabrik terkemuka, Jakel Trading Sdn Bhd menawarkan potongan harga sebanyak 40 hingga 80 peratus sempena 'Jumbo Sale Penghabisan Stok' di semua 20 cawangannya di seluruh negara bermula daripada 21 November hingga 4 Januari depan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Eksekutif Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, jualan penghabisan stok tersebut disifatkan istimewa kerana pelbagai jenis fabrik eksklusif berharga ratusan ringgit dijual pada harga serendah RM4 hingga RM5 semeter. Potongan harga yang ditawarkan serendah RM4 hingga RM5 semeter. "Ini merupakan tawaran harga paling rendah pernah Jakel tawarkan kepada pelanggan-pelanggan kami dalam tempoh lapan tahun. "Jika sebelum ini kita membuat 'Jumbo Sale Pengosongan Kedai' di Wisma Jakel Kuala Lumpur dan Shah Alam sahaja, kali ini jualan hujung tahun kita merangkumi semua 18 cawangan lain di seluruh negara. Kita memberikan diskaun dengan potongan harga yang cukup hebat sebanyak 40 hingga 80 peratus kepada pelanggan-pelanggan kita," kepada pemberita pada sidang media di Wisma Jakel Kuala Lumpur di sini, Jumaat. Faroz turut meluangkan masa melayan pelanggan setia Jakel. Sebelum ini, Jakel mengadakan 'Jumbo Sale Pengosongan Kedai' di Wisma Jakel Kuala Lumpur berikutan pemindahan operasinya ke bangunan baru yang lengkap dengan prasarana tersendiri seperti kemudahan pusat membeli belah serta tempat letak kereta di Capital Square yang akan memulakan jualannya pada awal tahun hadapan. Ditanya mengenai sasaran jualan sempena jualan penghabisan stok tersebut, Mohamed Faroz berkata pihaknya menyasarkan dapat memperoleh sekurang-kurangya 15 peratus daripada pendapatan jualan kumpulan pada tahun ini. "Kita memberikan potongan harga yang hebat ini untuk menghargai pelanggan setia kita dan ingin menghabiskan stok sedia ada, kita berharap apabila kita berpindah ke bangunan baru nanti hanya stok baru sahaja akan dimuatkan di gedung kami. Sementara itu, Jakel turut memberi jaminan harga fabrik yang dijual di semua cawangannya tidak akan dinaikkan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April tahun hadapan. Mohamed Faroz berkata, harga fabrik yang dijual akan kekal mengikut harga semasa, malah mungkin lebih murah daripada harga jualan ketika ini. "Pada masa sekarang kita membayar cukai jualan dan perkhidmatan, 10 peratus kepada kerajaan, dengan pengenalan GST hanya 6 peratus sahaja cukai yang perlu dibayar. Penjimatan 4 peratus itu kita akan berikan semula kepada pelanggan-pelanggan kami. "Kami memberi jaminan harga kain di Jakel tidak akan naik kerana pengenalan GST pada April tahun hadapan," katanya.