KUALA LUMPUR: Koperasi wajar dinaiktaraf kepada kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengatasi kesukaran untuk mendapatkan bantuan modal untuk mengembangkan operasinya. Perwakilan Umno Pulau Pinang, Mansor Musa berkata, walaupun terdapat pelbagai aktiviti dan projek berdaya maju, platform ekonomi dengan lebih 90 peratus daripadanya melibatkan orang Melayu itu masih dibendung masalah. "Mereka ada aktiviti yang berdaya maju tetapi susah untuk mendapat pinjaman di bank. "Bagi membantu gerakan koperasi, pengiktirafan perlu diberi kepada koperasi ini sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana bagi memudahkan bantuan modal disalurkan," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat. Ketua Umno Bahagian Bayan Baru itu berkata, pengiktirafan itu akan membolehkan mereka menikmati insentif dari segi geran dan bantuan kewangan yang selama ini diberikan kepada PKS. "Dengan insentif ini, koperasi kecil dapat melakukan pembangunan dan penyelidikan, pemasaran, pemadanan perniagaan dan lain-lain," katanya. Mengikut perangkaan sehingga Disember 2013, katanya, jumlah ahli koperasi adalah seramai 7.61 juta orang. "Jika ditolak dua juta orang daripada koperasi yang segan mati tak mahu, ada lima juta orang lagi. Ahli Umno pun baharu tiga juta orang," katanya. Sehubungan itu, Mansor berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan pengiktirafan tersebut untuk membantu orang Melayu yang terbabit dalam kegiatan koperasi.